picture

 

Sejarah



Picture

Pentadbiran Majlis Daerah Subis ditubuhkan sejak tahun pemerintahan British Koloni lagi iaitu pada tahun 1953 yang berperanan di bawah kuasa Local Authority. Pada awal kewujudan ia terpaksa menumpang di bawah bumbung pusat pentadbiran, Pejabat Daerah Kecil Sibuti dan juga mempunyai cawangan kecil di Niah yang juga di Pejabat Daerah Niah.

Jejak langkah permulaan Majlis Daerah Subis diterajui oleh mendiang Encik Yee Mee Sin Selaku Setiausaha merangkap Bendahari hingga ke tahun 1961 manakala Allahyarham Yang Berbahagia T.K Bujang Bin Hj. Sulaiaman selaku kerani dan disamping cawangannya di Niah diawasi oleh Allahyarham Hj. Awang Mansor Bin Pengiran Johari selaku Kerani Am juga Encik Drake Brockman. Pegawai Daerah Miri telah dilantik selaku Pengerusi Majlis pertama dan disusuli pula oleh Encik Peter Scanlan yang juga merupakan seorang Pegawai Daerah Miri pada ketika itu selaku Pengerusi Majlis yang kedua.

Sehingga tahun 1962, titik pembangunan Majlis Daerah Subis mulai menyerlah dengan sempurnanya pembinaan sebuah pejabat sendiri bertapak di tapak yang sama pejabat Majlis baru berdiri megah pada hari ini. Bangunan tersebut yang merupakan bangunan kayu dua tingkat telah dengan rasminya dibuka pada penghujung tahun 1962 oleh Residen Miri, Encik John Fisher. Mulai saat itu Majlis mulai berkembang sejajar dengan hasrat kerajaan dan bilangan kakitangan juga turut dipertingkatkan dari masa ke semasa dengan keperluan.

Kedudukan Setiausaha pula diduduki oleh Encik Simon Lao King Heng selaku Setiausaha yang kedua hingga tahun 1965 sementara Encik Poleben juga Pegawai Daerah Miri selaku Pengerusi baru. Berlainan pada masa sekarang, Ahli-Ahli majlis pada ketika itu adalah terdiri daripada hasil pemilihan ramai dan diantara mereka yang masih boleh kita temui ialah Encik Lee Foung Chew, Tuan Haji Sabeng Hj Edin, Encik Sim Kheng Chong dan Encik Badak ak Bakit.

Belum pun sempat bangunan pejabat persendirian dapat digunakan lama ianya telah ditenggelami air banjir pada ketika itu menyebabkan banyak rekod-rekod pejabat yang termusnah dan tercicir. Menyentuh fungsi Majlis pada masa iu ianya turut bertanggungjawab terhadap pentadbiran hal ehwal pelajaran, kesihatan ibu-ibu mengandung dan bersalin sehinggalah peranan-peranan tersebut diambil alih oleh agensi lain pada awal tahun 70an.

Dari masa ke semasa Majlis sentiasa mengalami pertukaran dan pada tahun 1965 Encik Mathew Chin Vui En telah mengambil alih kedudukan Setiausaha selaku yang ketiga hingga ke tahun 1972 yang disusuli oleh Encik Lee Kim Leong selaku Setiausaha Majlis yang keempat hingga tahun 1983. Encik Bujang Omar selaku Setiausaha kelima sehingga 2003. Setiausaha keenam, Tuan Hj. Sulaiman Bin Hj. Ladis sehingga 2006 dan seterusnya digantikan oleh Setiausaha ketujuh Encik Sait Anak Enggang sehingga 2010. Setiausaha Majlis yang kelapan  adalah Encik David Anak Upe ,kesembilan ialah Puan Lolita Jaime Nicholas dan sekarang Cik Farrah Sofya Binti Mohd Sharbini pula adalah Pemangku Setiausaha bagi Majlis Daerah Subis.

Di bawah pentadbiran Encik Bujang Omar selaku Setiausaha dan Pengerusi Encik Amin Bin Hassan telah menempah era baru dengan membawa perancangan ke arah pembinaan bangunan pejabat baru yang ada sekarang dengan kerjasama penuh yang diberi oleh Encik Darrel Tsen Nyuk Choi selaku Setiausaha Tetap, Kementerian Alam Sekitar dan Pelancongan ketika itu. Akhirnya Majlis Daerah Subis telah mempunyai sebuah bangunan yang menjadi nyata dengan upacara perletakan batu asas bangunan pejabat baru Majlis yang telah disempurnakan oleh YAB Datuk Patinggi Tan Sri Haji Abdul Taib Mahmud Ketua Menteri Sarawak pada 16 Oktober 1990. Namun untuk memberi laluan kepada pembinaan bangunan baru maka pihak pentadbiran terpaksa berpindah sementara ke berek berkembar sehinggalah ia siap sepenuhnya dan dapat digunakan pada penghujung tahun 1992.