KUCHING, 25 Mac: Sambutan Hari Pekerja 2026 Peringkat Sarawak yang dijadual berlangsung pada 10 Mei depan di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) menyasarkan kehadiran sekitar 3,000 peserta dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abang Johari Tun Openg dijadualkan menyempurnakan majlis perasmian.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, mesyuarat pertama jawatankuasa penganjur telah diadakan bagi membuat persiapan awal sambutan tersebut bertemakan ‘Pekerja Cemerlang Sarawak Maju Makmur’ mencerminkan hubungan penting antara tenaga kerja berkualiti dengan kemajuan serta kemakmuran negeri.
“Tema ini selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), di mana Sarawak disasarkan menjadi negeri maju dan progresif menjelang tahun 2030.
“Sambutan tahun lalu mencatat kejayaan apabila menghimpunkan 1,500 peserta serta diiktiraf dalam Malaysia Book of Records sebagai penganjuran terbesar melibatkan pekerja dan agensi kerajaan di negeri ini. Berdasarkan pencapaian tersebut, kita menyasarkan peningkatan kepada 3,000 peserta bagi sambutan tahun ini,” katanya pada sidang media hari ini.
Menjelas lanjut, katanya, antara pengisian utama sambutan kali ini termasuk kehadiran Premier Sarawak sebagai tetamu kehormat yang akan menyempurnakan majlis serta peluncuran portal JobSarawak.
“Selain itu, sambutan turut menampilkan penyampaian Anugerah Pekerja Cemerlang yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu golongan eksekutif dan bukan eksekutif.Buat julung kalinya juga, Anugerah Majikan Cemerlang akan diperkenalkan dengan dua kategori iaitu syarikat besar dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Dalam pada itu, program tahun ini turut merangkumi sesi taklimat dan libat urus berkaitan pindaan Ordinan Buruh Sarawak yang telah diluluskan pada Disember 2024.Kita akan mengambil peluang ini untuk berkongsi maklumat serta mendapatkan maklum balas daripada wakil pekerja dan majikan berhubung pindaan tersebut,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan Sarawak amat bergantung kepada sumbangan pekerja berkualiti dalam pelbagai sektor.
“Apabila wujud pekerja cemerlang, ia mampu memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan produktiviti dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.Tema sambutan tahun ini juga menekankan kepentingan mengiktiraf serta menghargai peranan pekerja dalam merealisasikan visi kemajuan dan kemakmuran Sarawak,” katanya. – TVS