News

 

Sarawak pergiat kesiapsiagaan hadapi musim kemarau

Posted on 25 Mar 2026
Source of News: TVS

KUCHING, 25 Mac: Kerajaan Sarawak mempergiat langkah kesiapsiagaan dalam menghadapi kemungkinan musim kemarau yang dijangka melanda negeri ini susulan berakhirnya Monsun Timur Laut (MTL).

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, peralihan cuaca tersebut dijangka membuka laluan kepada musim panas dan kering yang berpotensi mengundang pelbagai risiko termasuk kebakaran terbuka, kekurangan bekalan air serta peningkatan titik panas di beberapa kawasan.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) NADMA turut memberi amaran bahawa negara berkemungkinan akan berdepan dengan musim panas seperti kebiasaan selepas berakhirnya monsun tersebut.

“Bagi menghadapi situasi ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC) akan mengadakan mesyuarat serta mengarahkan semua jawatankuasa di peringkat bahagian dan daerah supaya bersiap siaga. Langkah ini penting bagi menghadapi kemungkinan berlakunya musim kemarau dan cuaca kering,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi di Kuching, hari ini.

Menurutnya, langkah tersebut termasuk memperkukuh pemantauan awal bagi mengesan kewujudan titik panas terutama di kawasan tanah gambut yang mudah terbakar ketika cuaca kering.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menegaskan bahawa pengesanan awal adalah penting bagi mengelakkan kebakaran merebak ke kawasan lebih luas.

“Kita tidak mahu tunggu sehingga api marak baru bertindak. Jika kita dapat kesan lebih awal, kita boleh kawal dan cegah daripada menjadi lebih serius,” jelasnya.

Selain itu, kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap keperluan prasarana di kawasan berisiko seperti Kuala Baram bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil sekiranya berlaku kecemasan.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai agar memainkan peranan dengan tidak melakukan pembakaran terbuka sepanjang musim panas.-TVS