News

 

Pembangunan Sibuti terus jadi keutamaan, projek baharu diharap tahun ini

Posted on 17 Feb 2026
Source of News: TVS

MIRI, 17 Feb: Usaha memperkasa pembangunan di kawasan Sibuti terus menjadi fokus utama apabila lebih banyak projek baharu diharapkan dapat dilaksanakan sepanjang tahun ini.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Dato Lukanisman Awang Sauni menekankan bahawa penambahbaikan kemudahan asas serta pembangunan fasiliti kesihatan dan sekolah baharu adalah agenda mendesak bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan penduduk di Parlimen Sibuti.

“Saya mengharapkan agar tahun ini kita diberikan lebih banyak lagi projek-projek pembangunan untuk kawasan Sibuti, khususnya dari sudut pembangunan fasiliti kesihatan, pembangunan sekolah-sekolah baru dan juga fasiliti asas seperti menaik taraf balai polis dan bomba yang menjadi keperluan mendesak di kawasan Parlimen Sibuti,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sibuti berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Ziarah Tahun Baharu Cina 2026 di Batu Niah, di sini, hari ini.

Beliau menambah, program ziarah Tahun Baharu Cina 2026 menjadi platform penting dalam memperkukuh keharmonian kaum serta meneliti keperluan pembangunan setempat.

Lukanisman turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat Cina atas sokongan padu yang diberikan kepada Kerajaan Sarawak, sambil berharap inisiatif kerajaan negeri, termasuk pendidikan percuma dapat dimanfaatkan oleh semua kaum tanpa mengira latar belakang. – TVS