KUCHING: Sarawak kini memasuki fasa kedua dan paling mencabar dalam Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 yang berpandukan Rancangan Malaysia Ke-13 Sarawak (RMK13).
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, fasa ini menandakan peralihan penting daripada persediaan kepada prestasi dan daripada kesiapsiagaan kepada hasil.
“Ia bukanlah perubahan hala tuju, tetapi penajaman fokus terhadap pelaksanaan, penyampaian dan hasil yang boleh diukur.
“Sementara fasa awal PCDS 2030 memberi tumpuan kepada pembinaan asas seperti memulihkan kekuatan fiskal, memperkukuh institusi dan mewujudkan rangka dasar, fasa ini bertujuan menukar kesiapsiagaan kepada hasil nyata yang dapat dilihat, diukur dan dialami oleh rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana sempena ulang tahun kesembilan beliau sebagai Premier Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, di bawah RMK13, pembangunan Sarawak akan dipandu oleh keutamaan strategik yang jelas, bukan sebagai sektor berasingan, sebaliknya sebagai sistem bersepadu yang merentas industri, institusi dan keupayaan.
“Keutamaan ini disokong oleh pemangkin merentas sektor dalam inovasi, kelestarian dan keupayaan institusi bagi memastikan pertumbuhan adalah produktif, berdaya tahan dan boleh dicapai,” katanya.
Menurutnya, peralihan tenaga dan perindustrian rendah karbon akan terus menjadi enjin pertumbuhan utama, memanfaatkan kelebihan tenaga boleh diperbaharui Sarawak untuk menyokong industri hiliran, pusat data dan aktiviti berasaskan hidrogen yang sedang berkembang.
“Peralihan ini akan disokong oleh tadbir urus alam sekitar yang kukuh, termasuk pengurusan tanah dan air yang lestari, amalan ekonomi kitaran dan langkah ketahanan iklim, bagi memastikan pertumbuhan industri kekal bertanggungjawab terhadap alam sekitar dalam jangka panjang,” jelasnya.
Abang Johari turut berkata bahawa sektor pembuatan dan industri hiliran akan diperkukuh dengan penekanan kepada pemprosesan bernilai tinggi, bahan maju dan pengeluaran berorientasikan eksport.
“Ini akan mengangkat Sarawak lebih tinggi dalam rantaian nilai serantau dan global, disokong oleh penggunaan teknologi canggih yang lebih meluas, penyelidikan terapan dan inovasi dipacu industri serta hubungan yang lebih kukuh antara syarikat, institusi penyelidikan dan talian bakat bagi mempercepatkan komersialisasi dan peningkatan produktiviti,” katanya.
Selain itu katanya, keselamatan makanan dan pertanian moden akan diperkukuh melalui pendekatan berasaskan produktiviti termasuk penggunaan teknologi, pertanian tepat, agropark bersepadu dan pengukuhan hubungan antara petani dan pasaran.
Manakala digitalisasi dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) katanya, akan diperluaskan merentas sektor bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti perkhidmatan, menyokong pengurusan bandar pintar, pengoptimuman industri dan perkhidmatan awam berasaskan data.
“Pengangkutan, logistik dan hab penghubung akan dipertingkat sebagai pemangkin strategik, memastikan pelabuhan, lapangan terbang, jalan raya dan infrastruktur digital menyokong kluster industri, aliran perdagangan dan kesalinghubungan serantau secara berkesan.
“Seiring itu, perkhidmatan perniagaan sokongan termasuk logistik, kejuruteraan, profesional, digital, kewangan dan perkhidmatan hijau akan diperkukuh bagi meningkatkan kemudahan perdagangan, integrasi rantaian bekalan dan kesiapsiagaan eksport, menjadikan Sarawak hab yang kompetitif untuk pengeluaran dan perkhidmatan serantau,” katanya.
Beliau menambah, pembangunan modal insan juga dilihat sebagai strategi ekonomi, dengan pelaburan dalam pendidikan, peningkatan kemahiran dan latihan berasaskan industri sejajar dengan keperluan industri masa depan bagi memastikan tenaga kerja Sarawak bersedia untuk aktiviti bernilai tinggi, berasaskan teknologi dan inovasi.
Sehubungan itu, Abang Johari berkata tanggungjawab untuk melaksanakan agenda pembangunan Sarawak bukan sahaja terletak pada perkhidmatan awam, malah kejayaan RMK13 memerlukan usaha semua pihak dengan syarikat milik kerajaan negeri, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi komuniti dan rakyat Sarawak masing-masing memainkan peranan.
“Peranan kerajaan adalah untuk menyediakan hala tuju, penyelarasan dan akauntabiliti dengan menetapkan dasar yang jelas, menyelaraskan institusi dan memastikan pelaksanaan yang berdisiplin.
“Walau bagaimanapun, kemajuan yang berkekalan bergantung kepada pemilikan bersama, perkongsian berkesan dan komitmen kolektif dalam masyarakat, di mana kerajaan, perusahaan, institusi komuniti dan rakyat masing-masing memainkan peranan dalam menterjemahkan dasar kepada hasil di lapangan,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan RMK13 akan dilakukan secara berperingkat bagi memastikan aspirasi selari dengan kapasiti penyampaian.
“Tempoh 2026 hingga 2027 akan memberi tumpuan kepada pecutan termasuk mempercepat projek sedia pelaksanaan, menyelesaikan sekatan, memobilisasi pelaburan dan memperkukuh koordinasi penyampaian.
“Tempoh 2028 hingga 2030 pula akan menumpukan kepada pengukuhan dan menuai hasil, memperluas inisiatif yang berjaya, memansuhkan reformasi secara institusi dan memastikan manfaat ekonomi serta sosial dikongsi secara meluas,” katanya.