News

 

Sibuti bakal miliki Wellness Hub terbesar di Malaysia

Posted on 08 Nov 2025
Source of News: TVS

MIRI, 8 Nov: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memperkukuh literasi dan kesejahteraan kesihatan rakyat melalui penubuhan Wellness Hub yang menyediakan perkhidmatan kesihatan dan kesejahteraan secara komprehensif di kawasan luar bandar.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, Wellness Hub yang sedang dibina di Sibuti akan menjadi yang terbesar di Malaysia.

“Pembinaan bermula Julai 2025 dan dijangka siap sepenuhnya pada awal tahun hadapan,” katanya selepas perasmian Festival Sihat Itu Saya: Jelajah Wow Zoomers Bersama MyChampion Hari Bertemu Pelanggan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Bekenu, hari ini.

Menurutnya, Wellness Hub akan menumpukan penilaian faktor risiko kesihatan, rundingan gaya hidup sihat, pengurusan berat badan, aktiviti fizikal seperti gimnasium dan studio tarian, sokongan berhenti merokok serta program komuniti bagi kesejahteraan rakyat.

“Inisiatif ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat di Parlimen Sibuti dan Sarawak, malah merangkumi pembangunan 38 Wellness Hub lain di seluruh negara termasuk Keningau, Tawau, Batu Pahat, Johor Bahru, Perlis dan Terengganu,” ujarnya.-TVS