MIRI: Hampir 2,000 peserta terlibat menjayakan Perarakan Niti Daun Gawai Dayak Daerah Subis 2025 di Dewan Masyarakat Batu Niah, daerah Subis hari ini.
Aktiviti julung kali itu dirasmikan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Perarakan sejauh dua kilometer dijayakan peserta yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, ketua-ketua masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti setempat.
Upacara adat miring dan bebiau memulakan program dan perarakan diserikan dengan iringan tabuh tradisional, persembahan gendang pampat dan tarian ngajat.
Semua kontinjen kembali tiba ke dewan sekitar jam 11.30 pagi dan dihiburkan dengan persembahan sambutan iaitu gendang pampat daripada Kelab Kesumba dan tarian ngajat daripada pelajar SMK Subis.
Aktiviti itu menjadi simbol usaha bersepadu pihak kerajaan dan komuniti tempatan dalam memperkasakan nilai perpaduan, melestarikan warisan budaya dan mengangkat daerah Subis sebagai destinasi warisan pelancongan.
Penganjuran pertama kali itu bukan sahaja mencipta sejarah, malah membuka ruang kepada generasi muda dan masyarakat luar untuk lebih mengenali kekayaan budaya masyarakat Dayak serta kepelbagaian etnik di Sarawak.
Aktiviti dianjurkan oleh Jawatankuasa Pengelola Niti Daun Gawai Dayak Daerah Subis 2025 yang terdiri daripada Pejabat Daerah Subis, Pengerusi-Pengerusi Persatuan Tuai-Tuai Rumah dan agensi-agensi kerajaan, ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK), pertubuhan bukan kerajaan ( NGO) dan komuniti setempat.
Hadir sama Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia yang juga Ahli Parlimen Sibuti Dato Lukanisman Awang Sauni dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak yang juga ADUN Bekenu Datuk Rosey Yunus.