News

 

Pantai Tusan Sibuti dibuka semula

Posted on 13 Aug 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

MIRI: Pantai Tusan di Sibuti yang cukup popular dengan ikon pelancongan batu 'kepala kuda' dan 'blue tears' suatu ketika dahulu, dibuka semula mulai Ahad lalu, selepas Projek Pembangunan Fasiliti Pelancongan Pantai Tusan siap dilaksanakan.  

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus berkata, projek pembangunan Pantai Tusan itu di bawah seliaan Majlis Daerah Subis dengan kos lebih RM6 juta termasuk bayaran pampasan untuk tanah dan kerja-kerja survei. 

Beliau yang juga ADUN Bekenu memberitahu demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Kemudahan Pelancongan Pantai Tusan di Bekenu, Sibuti pada Ahad. 

Katanya, pembangunan Pantai Tusan itu merangkumi bangunan yang menempatkan medan selera serta menara tinjau dengan kemudahan utiliti seperti bekalan air dan elektrik untuk kemudahan dan keselesaan pengunjung. 

"Ia turut meliputi pembinaan jalan raya, tempat letak kenderaan, trek untuk pejalan kaki, tiga unit gazebo, pancuran air mandi yang terletak di luar bangunan dan tandas awam," katanya. 

Selain itu, sebuah galeri juga akan dibina di dalam bangunan itu kelak dan replika  kepala kuda yang minum air.

Replika itu bagi menggantikan batu asal yang menyerupai kepala kuda minum air yang runtuh akibat hakisan tanah pada 20 Februari 2020. 

Menurut Rosey lagi, Kerajaan Sarawak telah meluluskan projek pembangunan itu yang bernilai RM5 juta pada 22 Jun 2017 dan kemudian kemudian meluluskan tambahan RM1 juta lagi untuk menampung kos pampasan tanah dan ukur di kawasan yang terlibat. 

Tapak tersebut telah diserahkan kepada kontraktor yang dilantik pada Februari 2019 dan dijadualkan siap dalam tempoh setahun.

“Bagaimanapun, beberapa tindakan lanjut perlu dilakukan berikutan isu-isu seperti pampasan tanah, keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, situasi COVID-19 yang mulai melanda negara dan dunia bermula Mac 2020, selain runtuhan batu 'kepala kuda' dan pelarasan pelan bangunan akibat hakisan,” katanya. 

Disebabkan halangan ini tambahnya, projek itu hanya disahkan siap pada April 2021.

Beliau berkata, Majlis Daerah Subis kemudiannya memohon tambahan RM700,000 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 untuk menyambung bekalan air dan elektrik.

“Hari ini pengunjung boleh berehat dan menikmati kepelbagaian makanan di sini kerana peniaga yang telah ditemu bual dan terpilih telah mula memasuki lot bangunan dan berniaga sejak 25 Jun tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, penjaja di bawah Jawatankuasa Komuniti Pantai Tusan yang dipengerusikan Mansor Antin memainkan peranan penting dalam membantu Majlis Daerah Subis menarik pengunjung ke tempat rekreasi ini, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan penduduk tempatan.

Rosey berjanji Kerajaan Sarawak akan terus membantu memenuhi keperluan industri pelancongan dan aspirasi masyarakat setempat.