News

 

Transformasi Digital Main Peranan Penting Perkasa Sektor Ekonomi Sarawak

Posted on 01 Feb 2024
Source of News: UKAS

RABU, 31 JANUARI 2024

KUCHING: Transformasi digital memainkan peranan penting untuk pembangunan Sarawak kerana ia akan memperkasakan sektor ekonomi Sarawak ke arah meningkatkan kecekapan dan produktiviti selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee berkata, semua pihak perlu bekerjasama dalam mendigitalkan perkhidmatan kerajaan di agensi masing-masing.

Menurut beliau, Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam (SCSDU) telah membangunkan satu senarai perkhidmatan kerajaan yang lengkap dan merencana proses digitalisasi secara berperingkat.

“Kita telah menetapkan beberapa sasaran penting dalam PCDS 2030 di mana semua perkhidmatan kerajaan hendaklah disediakan secara ‘end-to-end’ atau secara sepenuhnya atas talian menjelang 2030.

“Ini termasuklah dari mula-mula sesuatu perkhidmatan tersebut dimohon, diproses dan seterusnya disampaikan kepada rakyat.

“Ini bermaksud setiap perkhidmatan atau transaksi oleh kerajaan kepada rakyat adalah tanpa bersemuka dan juga tersedia pada bila-bila masa,” katanya ketika menyempurnakan Program Minggu Digitalisasi SCSDU di sini pada Rabu.

Datu Hii menambah, dalam membangunkan pelan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk projek Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), SCSDU akan menggunakan pendekatan pemikiran reka bentuk atau ‘design thinking’ di mana setiap agensi akan cuba memahami perspektif pengguna perkhidmatan.

Selain itu ujarnya, proses digitalisasi ini juga memerlukan penglibatan semua pihak selaku penggerak di peringkat agensi masing-masing dalam inisiatif strategik Kerajaan Sarawak.

Program Minggu Digitalisasi SCSDU diadakan selama lima hari bermula sejak 29 Januari hingga 2 Februari 2024 yang disertai seramai 170 penjawat awam dari pelbagai agensi.

Untuk rekod, pada hari ketiga Program Minggu Digitalisasi SCSDU mengetengahkan topik berkenaan data yang disampaikan oleh penceramah jemputan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Sains Malaysia, Hazami Habib dan topik berkaitan Platform Pengurusan Perkhidmatan Bersepadu (ISM) yang disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah SCSDU, Michelle Wong.

Turut hadir, Pengarah SCSDU, Grace Huong, Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority, Dato Dr. Anderson Tiong Ing Heng, CEO Sarawak Information Systems Sdn. Bhd (SAINS), Busai Seman serta tetamu yang lain. -EDISI UKAS