KUALA LUMPUR, 24 Feb: Para pekebun kecil di Sibuti menghadapi isu jalan kebun yang kritikal bagi mengangkut hasil pertanian mereka untuk dijual.
Menurut Ahli Parlimennya, Lukanisman Awang Sauni, Sibuti mempunyai populasi pekebun kecil terbesar di Sarawak yang mengusahakan pelbagai tanaman termasuk kelapa sawit.
Justeru itu, beliau berharap agar kerajaan dapat memberi perhatian terhadap isu di lapangan yang membelenggu rakyat di kawasannya.
“Jika tiada tindakan diambil untuk menaik taraf jalan kebun, pendapatan mereka akan terkesan dan ini boleh mendatangkan masalah ekonomi yang teruk kepada penduduk terutamanya yang tinggal di luar bandar,” kata Lukanisman ketika ditemui TVS di sini.
Selain itu, Lukanisman memberitahu masalah lain yang turut membebankan golongan pekebun pada masa ini adalah peningkatan harga baja dan racun serangga.
“Ini telah meningkatkan lagi kos operasi mereka dan saya berharap kementerian yang berkaitan akan mengambil tindakan intervensi yang sewajarnya untuk membantu dan membela nasib pekebun-pekebun kita yang juga telah memberikan sumbangan besar kepada pendapatan negara pada tahun 2022,” tambah beliau lagi. – TVS
Sumber: https://www.tvsarawak.my/2023/02/24/jalan-kebun-sangat-kritikal-untuk-pekebun-sibuti/#