picture

News

 

Kes rabies di Sarawak yang masih meningkat perlu diberi perhatian serius – Stephen Rundi

Posted on 14 Nov 2023
Source of News: TV Sarawak (TVS)

KUCHING, 13 Nov: Kes rabies yang masih mencatat peningkatan di Sarawak memerlukan langkah pencegahan awal diberi perhatian serius bagi mengelakkan wabak berkenaan menjadi sukar dikawal.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kerjasama daripada semua pihak bertanggungjawab memainkan peranan penting bagi mengurangkan kadar kes rabies tersebut.

“Kita memerlukan kerjasama daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO), pencinta anjing, pemilik anjing dan komuniti Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS). Hal ini kerana wabak rabies bukanlah sesuatu yang boleh kita ambil mudah.

“Sebaik sahaja anda digigit anjing, anda mesti mendapatkan rawatan perubatan kerana rabies boleh dirawat dan dicegah,” katanya ketika berucap pada Majlis Penghargaan 2023 Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak di Hotel Raia di sini, malam tadi.

Jelasnya lagi, dalam usaha bagi membanteras peningkatan kes yang membimbangkan, pihak kementeriannya kini dalam perbincangan untuk mengadakan Pusat Perubatan Veterinar di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Sarawak selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

“Sejak tahun 2017, kes pertama rabies sehingga kini bermakna langkah-langkah yang kita lakukan tidak cukup berjaya bagi mencegah wabak rabies. Perkara yang perlu kita lakukan adalah mencari jalan dengan menerima pakai teknologi baharu dan cara-cara baharu untuk mencegah wabak rabies ini.

“Pada masa yang sama, kita dalam perancangan dan perbincangan ingin mempunyai Pusat Perubatan Veterinar di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Sarawak. Saya dan pihak kementerian akan memberi sokongan sepenuhnya kerana ini adalah sesuatu yang kita lakukan selaras dengan PCDS 2030,” ujarnya lagi.

Turut hadir sama Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Datu Dr Adrian Susin Ambud.

Majlis Penghargaan 2023 Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak turut menyaksikan penyampaian anugerah perkhidmatan cemerlang kepada kakitangan. – TVS


Sumber: https://www.tvsarawak.my/2023/11/13/kes-rabies-di-sarawak-yang-masih-meningkat-perlu-diberi-perhatian-serius-stephen-rundi/