Laman Web Rasmi Majlis Daerah Subis
Kawasan Majlis Daerah Subis meliputi lebih kurang 3,729.68 km². Pada hakikatnya kawasan Majlis Daerah Subis adalah sebahagian daripada kawasan Bahagian Miri dan dikelilingi oleh Laut China Selatan, Daerah Miri, Daerah Baram dan Bahagian Bintulu. Dengan lokasi ini juga maka persempadanan kuasa tempatan yang terlibat dengan Majlis Daerah Subis adalah dengan Majlis Bandaraya Miri, Majlis Daerah Marudi dan Lembaga Kemajuan Bintulu.
LagiSiaran Akhbar, 27 March 2026
KUCHING, 25 Mac: Sambutan Hari Pekerja 2026 Peringkat Sarawak yang dijadual berlangsung pada 10 Mei depan di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) menyasarkan kehadiran sekitar 3,000 peserta dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abang Johari Tun Openg dijadualkan menyempurnakan majlis perasmian. Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, mesyuarat pertama jawatankuasa penganjur telah diadakan bagi membuat persiapan awal sambutan tersebut bertemakan ‘Pekerja Cemerlang Sarawak Maju Makmur’ mencerminkan hubungan penting antara tenaga kerja berkualiti dengan kemajuan serta kemakmuran negeri. “Tema ini selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), di mana Sarawak disasarkan menjadi negeri maju dan progresif menjelang tahun 2030. “Sambutan tahun lalu mencatat kejayaan apabila menghimpunkan 1,500 peserta serta diiktiraf dalam Malaysia Book of Records sebagai penganjuran terbesar melibatkan pekerja dan agensi kerajaan di negeri ini. Berdasarkan pencapaian tersebut, kita menyasarkan peningkatan kepada 3,000 peserta bagi sambutan tahun ini,” katanya pada sidang media hari ini. Menjelas lanjut, katanya, antara pengisian utama sambutan kali ini termasuk kehadiran Premier Sarawak sebagai tetamu kehormat yang akan menyempurnakan majlis serta peluncuran portal JobSarawak. “Selain itu, sambutan turut menampilkan penyampaian Anugerah Pekerja Cemerlang yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu golongan eksekutif dan bukan eksekutif.Buat julung kalinya juga, Anugerah Majikan Cemerlang akan diperkenalkan dengan dua kategori iaitu syarikat besar dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). “Dalam pada itu, program tahun ini turut merangkumi sesi taklimat dan libat urus berkaitan pindaan Ordinan Buruh Sarawak yang telah diluluskan pada Disember 2024.Kita akan mengambil peluang ini untuk berkongsi maklumat serta mendapatkan maklum balas daripada wakil pekerja dan majikan berhubung pindaan tersebut,” ujarnya. Beliau menegaskan bahawa kejayaan Sarawak amat bergantung kepada sumbangan pekerja berkualiti dalam pelbagai sektor. “Apabila wujud pekerja cemerlang, ia mampu memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan produktiviti dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.Tema sambutan tahun ini juga menekankan kepentingan mengiktiraf serta menghargai peranan pekerja dalam merealisasikan visi kemajuan dan kemakmuran Sarawak,” katanya. – TVS
Siaran Akhbar, 25 March 2026
KUCHING, 25 Mac: Kerajaan Sarawak mempergiat langkah kesiapsiagaan dalam menghadapi kemungkinan musim kemarau yang dijangka melanda negeri ini susulan berakhirnya Monsun Timur Laut (MTL). Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, peralihan cuaca tersebut dijangka membuka laluan kepada musim panas dan kering yang berpotensi mengundang pelbagai risiko termasuk kebakaran terbuka, kekurangan bekalan air serta peningkatan titik panas di beberapa kawasan. “Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) NADMA turut memberi amaran bahawa negara berkemungkinan akan berdepan dengan musim panas seperti kebiasaan selepas berakhirnya monsun tersebut. “Bagi menghadapi situasi ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC) akan mengadakan mesyuarat serta mengarahkan semua jawatankuasa di peringkat bahagian dan daerah supaya bersiap siaga. Langkah ini penting bagi menghadapi kemungkinan berlakunya musim kemarau dan cuaca kering,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi di Kuching, hari ini. Menurutnya, langkah tersebut termasuk memperkukuh pemantauan awal bagi mengesan kewujudan titik panas terutama di kawasan tanah gambut yang mudah terbakar ketika cuaca kering. Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menegaskan bahawa pengesanan awal adalah penting bagi mengelakkan kebakaran merebak ke kawasan lebih luas. “Kita tidak mahu tunggu sehingga api marak baru bertindak. Jika kita dapat kesan lebih awal, kita boleh kawal dan cegah daripada menjadi lebih serius,” jelasnya. Selain itu, kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap keperluan prasarana di kawasan berisiko seperti Kuala Baram bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil sekiranya berlaku kecemasan. Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai agar memainkan peranan dengan tidak melakukan pembakaran terbuka sepanjang musim panas.-TVS
Siaran Akhbar, 17 February 2026
MIRI, 17 Feb: Usaha memperkasa pembangunan di kawasan Sibuti terus menjadi fokus utama apabila lebih banyak projek baharu diharapkan dapat dilaksanakan sepanjang tahun ini. Timbalan Menteri Luar Negeri, Dato Lukanisman Awang Sauni menekankan bahawa penambahbaikan kemudahan asas serta pembangunan fasiliti kesihatan dan sekolah baharu adalah agenda mendesak bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan penduduk di Parlimen Sibuti. “Saya mengharapkan agar tahun ini kita diberikan lebih banyak lagi projek-projek pembangunan untuk kawasan Sibuti, khususnya dari sudut pembangunan fasiliti kesihatan, pembangunan sekolah-sekolah baru dan juga fasiliti asas seperti menaik taraf balai polis dan bomba yang menjadi keperluan mendesak di kawasan Parlimen Sibuti,” katanya. Beliau yang juga Ahli Parlimen Sibuti berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Ziarah Tahun Baharu Cina 2026 di Batu Niah, di sini, hari ini. Beliau menambah, program ziarah Tahun Baharu Cina 2026 menjadi platform penting dalam memperkukuh keharmonian kaum serta meneliti keperluan pembangunan setempat. Lukanisman turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat Cina atas sokongan padu yang diberikan kepada Kerajaan Sarawak, sambil berharap inisiatif kerajaan negeri, termasuk pendidikan percuma dapat dimanfaatkan oleh semua kaum tanpa mengira latar belakang. – TVS
Siaran Akhbar, 02 March 2026
Tahukah anda? Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan melaksanakan Banci Ekonomi 2026 (BE2026). Banci Ekonomi 2026 (BE2026) merupakan banci ke-6 yang dilaksanakan setiap lima tahun sekali sejak tahun 2000. Banci ini bertujuan untuk mengumpul data yang komprehensif meliputi keseluruhan aktiviti ekonomi negara, termasuk sektor perdagangan borong dan runcit. Pelaksanaan BE2026 turut merangkumi pertubuhan perniagaan serta pertubuhan tidak berasaskan keuntungan. Data yang dikumpulkan akan menjadi sumber rujukan penting sebagai nadi ekonomi rakyat dan asas dalam merancang pembangunan negara yang lebih berkesan serta mampan. Untuk maklumat lanjut, sila layari media sosial Facebook Jabatan Perangkaan Malaysia atau akses pautan berikut:- 1. Pengenalan BE2026 2. Pelaksanaan Operasi BE2026 3. Objektif BE2026
Siaran Akhbar, 12 January 2022
Pelan Antirasuah Organisasi 16 Pihak Berkuasa Tempatan Sarawak (OACP19 PBT) 2022-2026 Sila klik pada pautan di bawah untuk memuat turun Pelan Antirasuah Organisasi 16 Pihak Berkuasa Tempatan Sarawak (OACP19 PBT) 2022-2026 OACP19 PBT Majlis Daerah Subis 2022-2026