Berita

PKPB dilaksanakan di tiga zon merah bermula 13 Januari ini - Uggah
Tarikh : 13 Jan 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

KUCHING: Sarawak akan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di tiga zon merah melibatkan Kuching, Sibu dan Miri. 

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, PKPB bagi daerah Kuching, Sibu dan Miri akan dilaksanakan selama 14 hari mulai 13 hingga 26 Januari 2021.

Katanya, Zon Kuching merangkumi Kuching, Samarahan dan Serian, Zon Sibu melibatkan Sibu dan Sarikei manakala Zon Miri merangkumi daerah Miri. 

"Memandangkan kes positif COVID-19 di Kuching, Sibu dan Miri kian meningkat setiap hari, JPBNS telah menilai situasi dengan mengambil kira kes jangkitan tempatan yang direkodkan di Sarawak iaitu sebanyak 209 kes dalam tempoh 14 hari yang lepas. 

"Maka keputusan untuk menguatkuasakan PKPB bagi Kuching, Sibu dan Miri akan dilaksanakan mulai 13 hingga 26 Januari 2021," katanya pada sidang media perkembangan semasa COVID-19 di bangunan DUN lama di sini hari ini. 

Jelas Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri, pergerakan rentas negeri dari Semenanjung, Sabah dan Labuan tidak dibenarkan kecuali dengan kebenaran daripada polis.

Tambahnya, pergerakan rentas zon dalam negeri Sarawak juga tidak dibenarkan melainkan mendapat kebenaran daripada polis. 

Bagi garis panduan kemasukan ke negeri Sarawak, Uggah memberitahu, kemasukan ke negeri Sarawak akan dikenakan kuarantin selama 14 hari di Pusat Kuarantin yang diperakui oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak. 

"Kita tidak lagi memberi pengecualian, semua yang datang ke Sarawak akan dikuarantin selama 14 hari di Pusat Kuarantin yang telah diperakui. 

"Ujian saringan COVID-19 akan diambil pada hari ke-2 dan hari ke-10," ujarnya. 

Butiran lanjut mengenai prosedur pengendalian standard di bawah PKPB akan diumumkan pada Selasa, tambahnya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, pada hari ini polis telah mengeluarkan sebanyak lima kompaun di daerah Padawan (2), Samarahan (2) dan Kuching (1) kerana telah melanggar SOP.

Manakala Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak telah mengeluarkan 101 notis amaran lisan dan bertulis di bawah pihak berkuasa tempatan seliaan. 

 

 

Sumber: https://www.utusanborneo.com.my/2021/01/11/pkpb-dilaksanakan-di-tiga-zon-merah-bermula-13-januari-ini-uggah